Nuffnang

Tuesday, October 14, 2014

Berbaktilah selagi mereka masih ada

Walaupun bidang yang ambil sewaktu di KUIS adalah bidang Dakwah, tetapi ALLAH telah menempatkan saya tempat berkhidmat di sebuah firma peguam syarie. Bila difikirkan semula bidang yang belajar agak berbeza sebab terjun dalam bidang yang berlainan.

Tapi untuk hari bukan nak cerita pasal kerja, disebabkan kerja saya juga banyak mengajar saya mengenali diri dan pelbagai pengalaman telah saya pelajari. Baru-baru ini wakil kan bos untuk hadiri satu sebutan kes yang berkaitan dengan hak jagaan anak (Hadhanah). Selepas selesai urusan rasmi dengan pihak Mahkamah, ambil sedikit masa sembang dengan client si ayah dalam kes tersebut.

Banyak perkara bersembang selain hal hak jagaan yang diceritakannya kepada saya. Apabial cerita pasal hal anak-anak si ayah mula sebak, mata merah sehingga menitis air mata, sehingga suara pun berubah dan tak dapat nak bercakap......apa lagi saya turut terjangkitlah (jangan salah faham ya, saya bukan emosi ya). Apabila dilihat semula wajah si ayah ini agak tegas orang nya dengan anak-anak, tetapi setegas-tegas seorang ayah ada juga masa mereka akan menitiskan air mata demi anak-anak kesayangannya.

Jasa ibu bapa menjaga anak-anak, kita yang sebagai anak ini tidak mampu untuk membayar atau ganti dengan apa jua wang ringgit ataupun harta yang bernilai tinggi. Ini kerana jasa mereka adalah nilai yang tak terhingga. Kadang-kadang jangan ingat kita ini gaji besar dan tiap bulan boleh salurkan wang ringgit kepada ibu bapa kita dah kira membayar balik apa yang ibu ayah kita korbankan untuk kita. Ibu dan ayah kadang-kadang bukan nak anak-anak mereka kaya-raya tetapi nak bersama dengan mereka setahun sekali pun susah. Memanglah harapan ibu bapa kepada anak ialah moga anak-anak mereka berjaya dan menjadi manusia yang berguna tetapi sebagai ibu bapa bukan mengharapkan wang ringgit daripada anak-anak, apa yang mereka harapkan ialah anak-anak boleh ada masa menemani mereka bila kita ada ruang waktu yang sesuai, kerana bagi mereka masa nak hidup pun dah tak lama......

Mak saya sendiri pernah bercakap dengan saya selepas dia ketahui identiti saya sebagai seorang Muslim: "Ma dh tak lama nak hidup di dunia ini, apa yang penting ma harap kamu boleh jadi seorang manusia yang berguna serta dapat bawa diri dengan baik di luar nanti, ma tidak mengharapkan apa harta benda pun dari kamu, yang penting ada masa waktu ma masih hidup balik tengok ma.......". Saya tersebak seketika, Ya Allah ini saja yang ibu saya minta, selama ini sebelum Islam saya asyik mengejar dunia ingat nak dapat duit yang banyak untuk berikan kepada mereka saya dah hebat sehingga ketamakan saya ini terjebak dengan kerja-kerja haram, yang saya selam itu tak pernah sedar yang ibu bapa harapkan hanya anak-anak mereka boleh bawa diri dengan baik apabila dewasa nanti.

Dalam al-Quran, Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Israa’, ayat 23)

Sangat jelas dan terang Allah perintahkan kita manusia jangan menyembah melainkan hanya dengan Allah, dan hendaklah kita menjaga ibu bapa dengan baik sehingga sebarang perkataan kasar pun tidak kita dibenarkan untuk dikatakan kepada ibu bapa. Tetapi realiti hari ini berapa ramai anak-anak yang buat begitu terhadap ibu bapa mereka, kadang-kadang ibu bapa telefon kat kita pun kita asyik bagi tahu mereka kita ini sibuk tak boleh nak sembang lama. Kita kena ingat berapa lama ibu bapa kita ini boleh hidup lagi dalam dunia ini, kalau mereka tak telefon anak-anak siapa lagi mereka nak telefon, sebab mereka rindu kepada anak-anaklah mereka telefon, apa salah kita ini luangkan sedikit masa untuk mereka. 

Kita ini dah lupa ke, waktu kita kecil berapa banyak masa dan tenaga telah ibu bapa kita korbankan demi anak-anak sehingga makan minum pun mereka dahulukan untuk anak-anak dan risau anak-anak tak cukup makan. Pernah satu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulullah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Soalan kedua yang ditanya ini, Rasulullah s.a.w ialah berbuat baik kepada ibu bapa. Menurut Muhammad Abdul Aziz Al Khuli ketika membuat huraian hadis di atas menyebut bahawa seolah-olah Rasulullah s.a.w menyusun urutan itu berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu.” (Surah Luqman, ayat 14).

Sebagai umat Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah, ini juga merupakan bahagian yang sangat dituntut dalam Islam iaitu berbuat baik terhadap ibu bapa kita walaupun kita ini mungkin berlainan agama dengan mereka. Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat juga turut berceritakan tentang berbuat baik terhadap ibu bapa, antaranya:

Firman Allah SWT menceritakan akhlak Nabi Isa yang bermaksud: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana saja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 30-32), dan

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ana’am, ayat 151 yang bermaksud , “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.”

Selain daripada al-Quran, berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul. Ia menggambarkan tidak mungkin orang yang derhaka kepada ibu bapa layak mengajak orang lain membuat kebaikan apatah lagi memimpin manusia.

Pernah suatu masa, ada seorang client ceritakan kepada saya, anak-anaknya telah berubah sejak berlakunya perceraian antara dia dengan isteri sehingga ada beberapa kali anak-anak nya bertemu dengan si ayah ini tidak langsung bersalaman dengan ayah kandung mereka apatah lagi nak dengar anak-anak ini memanggilnya "ayah". Perlu ke kita ini sebagai anak-anak nak membenci mereka walaupun mereka ini telah bercerai, kena ingat darah yang mengalir dalam badan kita ini adalah darah ibu bapa kita ini. Ya memang perceraian berlaku adalah suatu perkara yang sangat perit bagi yang kita ini sebagai anak, tapi tiada bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya membenci mereka. yang nak berlaku itu dah berlaku, perceraian hanya pada ibu bapa kita tidak lagi sebagai suami isteri tetapi sampai bila pun kita ini tetap anak mereka. 

Kita sebagai anak kenalah selalu berdoakan untuk mereka dan bukan membenci tindakan atau keputusan yang diambil ibu bapa. Sebab suatu hari nanti kita juga akan jadi ibu bapa kepada anak-anak kita. Kalau kita membenci mereka itu antaranya satu perkara bahawa kita telah khianat kepada ibu bapa dan perintah yang Allah turunkan. Secara percuma kita ini mengundang laknat daripada Allah.Jikalau orang yang memahami isyarat daripada al-Quran mengenai kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa tidak akan melakukan perkara seumpama itu.

Untuk menjadi insan yang berjaya kita selalu wajib bermuhasabah sejauh manakah kebaktian dan kebaikan yang sudah dilakukan kepada ibu bapa kita. Peluang terbuka luas untuk kita tingkatkan kasih sayang dan perhatian kepada ibu bapa, memohon maaf atas segala kelemahan sebagai anak yang alpa terhadap tanggungjawab kita. Sayangilah dan berbaktilah kepada  ibu bapa kita selagi mereka masih ada.

Bagi diri saya ini yang kerdil ini, selepas memeluk agama Islam banyak pengajaran kepada diri saya dan membuat saya sedar tuntutan berbakti kepada ibu bapa turut dirakamkan dalam ayat-ayat suci al-Quran dan juga hadith Nabi Muhammad s.a.w. Dan saya bersyukur pada Allah SWT, kerana DIA memberi ruang dan masa untuk memperbaiki apa yang telah saya lakukan sebelum Islam. Allah telah kembalikan saya kepada keluarga saya yang pernah saya pinggirkan sebelum ini. ALHAMDULILLAH















Wednesday, October 1, 2014

Memori dulu dan sekarang......beza tak?

Sangat rindu masa dulu mula2 belajar solat di pondok kemudian di Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah (PUSBA) & Institut Latihan Islam Dakwah Negeri Selangor (ILDAS) ......masa tu apabila kami semua solat berjemaah saf-saf kami sangat rapat di antara kami jarang ada ruang......

Tapi sejak dh habis belajar disana, sekarang pergi lah mana pun tempat solat jemaah, situasi rapatkan saf kian tak terasa sehingga kadang2 ruang disisi kita masih boleh muat lagi 2 orang, kita cuba rapat kan dan sambil memberi isyarat jemaah sebelah untuk rapat tapi apakan daya, kita tidak dihirau......

Sedangkan setiap kali sebelum mula solat, imam selalu beri arahan untuk para jemaah rapatkan saf tetapi situasi yang dulu saya rasai itu tiada dan amat jarang ku temu di luar lagi.......

Ingat suatu masa masih mentah dalam Islam, solat jumaat d sebuah masjid berdekatan dgn tempat bljr, bila jemaah masing merapatkan diri dalam saf dan saya pun begitu, apabila rapat lagi dgn seorg hamba Allah saya telah di "sound" sempitnya oleh hamba Allah ini, saya agak terkejut dgn suara itu......

Bukankah bila kita solat jemaah juga boleh mengukuhkan kekuatan dan ukhwah antara satu sama lain ke? Tetapi dalam saf secara tidak langsung kita telah berpecah dan masing2 nak kan keselesaan sendiri, macam mana kita yang bergelar Islam hendak kuat untuk bersatu, sedangkan solat jemaah pun kita tidak mampu hendak merapatkan saf sesama saudara Islam kita..............

Anda yang diluar sana zaman anda sekolah dulu waktu solat bukan ka selalu disuruh rapatkan saf sehingga serapat-rapatnya......Kenapa hari bila anda solat jarak antara jemaah sebelah kiri dan kanan kamu makin jauh?

Hadis Berkenaan Dengan Cara Merapatkan Saf


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ: عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقِيمُوا صُفُوفَكُمْ فَإِنِّي أَرَاكُمْ مِنْ وَرَاءِ ظَهْرِي وَكَانَ أَحَدُنَا يُلْزِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ

Maksud: 
Dari Anas B. Malik (radhiyallahu 'anhu), beliau menjelaskan bahawa Nabi s.a.w menyuruh supaya para makmum merapatkan saf-saf mereka dan Nabi akan dapat memerhatikan mereka dari belakang. Dan pada ketika itu masing-masing di antara kami pun saling merapatkanlah bahu dengan bahu dan telapak kaki dengan telapak kaki yang di sebelah. (Hadis Riwayat al-Bukhari, Shahih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/154, no. 683)

Hadis Tentang Kepentingan Merapatkan Saf


عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ قَالَ: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَقِيمُوا الصُّفُوفَ وَحَاذُوا بَيْنَ الْمَنَاكِبِ وَسُدُّوا الْخَلَلَ وَلِينُوا بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ لَمْ يَقُلْ عِيسَى بِأَيْدِي إِخْوَانِكُمْ وَلَا تَذَرُوا فُرُجَاتٍ لِلشَّيْطَانِ وَمَنْ وَصَلَ صَفًّا وَصَلَهُ اللَّهُ وَمَنْ قَطَعَ صَفًّا قَطَعَهُ اللَّهُ

Maksud: 
Daripada 'Abdullah B. 'Umar, bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda:
"Luruskanlah saf-saf, rapatkanlah bahu-bahu, tutuplah celah-celah (di kanan dan kiri di antara kamu), dan berlemah-lembutlah terhadap saudara kamu, serta jangan biarkan ada celah-celah untuk Syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkan hubungan dengannya dan sesiapa yang memutuskan saf, maka Allah akan memutuskan hubungan dengannya." (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Kitab as-Solah, 2/309, no. 570. Dinilai Sahih oleh al-Albani, Shahih Sunan Abi Daud, 2/166, no. 666)


Sumber gambar: www.facebook.com/MajalahNiaga


Sunday, September 28, 2014

Belajar ilmu baru.......jawi lama

Tarikh 20hb Oktober 2006 (27 Ramadhan 1437H) hari kelahiran baru ku bergelar sebagai muslim......titik perubahan ini amat banyak miracle  buat saya insan yang kerdil ini. Selepas memeluk agama Islam dan saya telah bernekad nak belajar tentang agama Islam lebih mendalam sehingga saya memilih untuk meninggalkan kerjaya yang mempunyai gaji amat lumayan buat diri saya yang bujang..........(masa tahun 2006 laaaa, time tu masih bujang 4 lagi).



Lepas seminggu hari raya aidilfitri, seorang sahabat (Abdul Aziz) telah menghantar saya ke sebuah maahad tahfiz (Madinatul Ilmi) di Batu Kurau, Perak untuk belajar. Waktu belajar di sana hanya saya seorang saja yang bergelar muallaf bersama sekumpulan pelajar asal Islam.....Peringkat awal memang lah rasa "BLUR" sebab bukan tau apa, org solat saya ikut, berwuduk pun tak betul lagi hehe. Kadang2 ikut juga tok guru (mudir maahad tahfiz tersebut) ke surau-surau untuk mengikut kelas belajar kitab jawi kuning (jawi lama) yang tiada sepatah saya mengerti, maklumlah dari kecil belajar di sekolah cina mana lah nak pernah belajar huruf jawi.....orang buka kitab saya buka kitab tapi tok guru baca sampai baris mana terang kat mana pun ke laut.

Sehingga 1 hari datang seorang pakcik yang terlambat selepas kuliah maghrib bermula, duduk dan terus tanya kat saya: "dah sampai mana dah ustaz ngajar?".....Oooooppppps dalam hati berbisik sendiri: "pakcik, kitab ni kenal aku tapi aku tak kenal dia.....mana aku belajar huruf jawi". Disebabkan ego saya ini takut malu pula, saya main tunjuk je, ooooo tunjuk2 tengak orang sebelah jap, betul lah saya tunjuk ini. Syukur alhamdulillah betul lah saya tunjuk ni, kalu tak malu oooo. Mulai saat itu, dalam hati berkata rugi lah kalau saya tak belajar huruf jawi ini. Dalam malam tu juga saya cerita kat ustaz: "ustaz, syafiq nak belajar baca huruf jawi boleh....", belum saya habis, ustaz terus jawab: "tak ada masalah, bila-bila pun pun boleh."

Terus tanpa berlengah, hari selepasnya saya pun mula belajar jawi pada masa yang sama belajar maqaddam.....hmmm boleh tahan juga belajar bersama budak-budak bawah umur 13tahun ni, peringkat awal memang tak selesa lah sebab kena belajar dengan budak pada hal kita ini dah bapa budak adoiiiii. Dengan kekuatan yang Allah bagi ke tekad untuk teruskan, dan ini lah masa saya untuk mulakan langkah pertama, sambil berpujuk hati: "syafiq ko masih baru tapi ini lah antara satu2 peluang teruskan je, jangan mengalah.....". Guru pertama yang mengajar saya kenal huruf ini bergelar dirinya mak su (arwah isteri mudir maahad tersebut), memang selalu membantu saya sehingga saya mampu membaca sedikit demi sedikit bahasa melayu jawi ini sehingga lah hari ini apa yang telah dibelajar masih kekal lagi dalam ingatan.

Dari ego saya sendiri, Allah putarkan ia menjadi sebagai satu semangat untuk saya belajar sesuatu yang tak pernah saya sentuh. Ini satu miracle bagi diri saya, umur dah 30 baru nak belajar peringkat asas untuk mengenal, menulis dan membaca ilmu baru, ini semua merupakan kekuatan yang Allah kurniakan untuk saya, tanpa kekuatan dari Allah tidak akan saya kenal jawi pada hari ini...... 

لا حول ولا قوة إلا بالله

Tidak ada keupayaan dan kekuatan melainkan (Iradat dan Kudrat) Allah S.W.T.

Setiap perkara pada awal memang kita lihat secara mata kasar kita akan rasa susah dan tidak mungkin dilakukan, tetapi hanya kita cuba berusaha serta doa mohon kepada Allah, insyaAllah akan dipermudahkan dan kita akan dapat suatu nikmat yang tak terhingga.......

Inilah kitab jawi pertama yang buat saya nekad untuk belajar jawi..................
Kawan-kawan jangan mudah mengalah dengan apa jua halangan yang datang.....ingat kerana kita ada Allah, mohonlah dengan DIA bersungguh2, insyaAllah apa yang baik yang engkau hajatkan pastikan dimakbulkan (jangan pula minta yang bukan2 ya)

Memori Konvo ILDAS 3/2010

Memori Konvo ILDAS 3/2010
Wah Ramainya......Pelajar Baru 7 je, carilah dimana saya.......