Nuffnang

bismillah Pictures, Images and Photos

Tuesday, October 14, 2014

Berbaktilah selagi mereka masih ada

Walaupun bidang yang ambil sewaktu di KUIS adalah bidang Dakwah, tetapi ALLAH telah menempatkan saya tempat berkhidmat di sebuah firma peguam syarie. Bila difikirkan semula bidang yang belajar agak berbeza sebab terjun dalam bidang yang berlainan.

Tapi untuk hari bukan nak cerita pasal kerja, disebabkan kerja saya juga banyak mengajar saya mengenali diri dan pelbagai pengalaman telah saya pelajari. Baru-baru ini wakil kan bos untuk hadiri satu sebutan kes yang berkaitan dengan hak jagaan anak (Hadhanah). Selepas selesai urusan rasmi dengan pihak Mahkamah, ambil sedikit masa sembang dengan client si ayah dalam kes tersebut.

Banyak perkara bersembang selain hal hak jagaan yang diceritakannya kepada saya. Apabial cerita pasal hal anak-anak si ayah mula sebak, mata merah sehingga menitis air mata, sehingga suara pun berubah dan tak dapat nak bercakap......apa lagi saya turut terjangkitlah (jangan salah faham ya, saya bukan emosi ya). Apabila dilihat semula wajah si ayah ini agak tegas orang nya dengan anak-anak, tetapi setegas-tegas seorang ayah ada juga masa mereka akan menitiskan air mata demi anak-anak kesayangannya.

Jasa ibu bapa menjaga anak-anak, kita yang sebagai anak ini tidak mampu untuk membayar atau ganti dengan apa jua wang ringgit ataupun harta yang bernilai tinggi. Ini kerana jasa mereka adalah nilai yang tak terhingga. Kadang-kadang jangan ingat kita ini gaji besar dan tiap bulan boleh salurkan wang ringgit kepada ibu bapa kita dah kira membayar balik apa yang ibu ayah kita korbankan untuk kita. Ibu dan ayah kadang-kadang bukan nak anak-anak mereka kaya-raya tetapi nak bersama dengan mereka setahun sekali pun susah. Memanglah harapan ibu bapa kepada anak ialah moga anak-anak mereka berjaya dan menjadi manusia yang berguna tetapi sebagai ibu bapa bukan mengharapkan wang ringgit daripada anak-anak, apa yang mereka harapkan ialah anak-anak boleh ada masa menemani mereka bila kita ada ruang waktu yang sesuai, kerana bagi mereka masa nak hidup pun dah tak lama......

Mak saya sendiri pernah bercakap dengan saya selepas dia ketahui identiti saya sebagai seorang Muslim: "Ma dh tak lama nak hidup di dunia ini, apa yang penting ma harap kamu boleh jadi seorang manusia yang berguna serta dapat bawa diri dengan baik di luar nanti, ma tidak mengharapkan apa harta benda pun dari kamu, yang penting ada masa waktu ma masih hidup balik tengok ma.......". Saya tersebak seketika, Ya Allah ini saja yang ibu saya minta, selama ini sebelum Islam saya asyik mengejar dunia ingat nak dapat duit yang banyak untuk berikan kepada mereka saya dah hebat sehingga ketamakan saya ini terjebak dengan kerja-kerja haram, yang saya selam itu tak pernah sedar yang ibu bapa harapkan hanya anak-anak mereka boleh bawa diri dengan baik apabila dewasa nanti.

Dalam al-Quran, Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan ‘Ha’ dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).” (Surah Al-Israa’, ayat 23)

Sangat jelas dan terang Allah perintahkan kita manusia jangan menyembah melainkan hanya dengan Allah, dan hendaklah kita menjaga ibu bapa dengan baik sehingga sebarang perkataan kasar pun tidak kita dibenarkan untuk dikatakan kepada ibu bapa. Tetapi realiti hari ini berapa ramai anak-anak yang buat begitu terhadap ibu bapa mereka, kadang-kadang ibu bapa telefon kat kita pun kita asyik bagi tahu mereka kita ini sibuk tak boleh nak sembang lama. Kita kena ingat berapa lama ibu bapa kita ini boleh hidup lagi dalam dunia ini, kalau mereka tak telefon anak-anak siapa lagi mereka nak telefon, sebab mereka rindu kepada anak-anaklah mereka telefon, apa salah kita ini luangkan sedikit masa untuk mereka. 

Kita ini dah lupa ke, waktu kita kecil berapa banyak masa dan tenaga telah ibu bapa kita korbankan demi anak-anak sehingga makan minum pun mereka dahulukan untuk anak-anak dan risau anak-anak tak cukup makan. Pernah satu ketika Abdullah Ibnu Masu’d bertanya kepada Rasulullah s.a.w yang bermaksud, “Apakah amalan yang paling dicintai Allah SWT? Rasulullah SAW menjawab: Solat di dalam waktunya. Kemudian apa? Rasulullah menjawab: Berbuat baik kepada ibu bapa. Kemudian apa? Rasulullah SAW menjawab: Berjihad di jalan Allah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Soalan kedua yang ditanya ini, Rasulullah s.a.w ialah berbuat baik kepada ibu bapa. Menurut Muhammad Abdul Aziz Al Khuli ketika membuat huraian hadis di atas menyebut bahawa seolah-olah Rasulullah s.a.w menyusun urutan itu berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “Hendaklah kamu bersyukur kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu.” (Surah Luqman, ayat 14).

Sebagai umat Islam yang berasaskan al-Quran dan Sunnah, ini juga merupakan bahagian yang sangat dituntut dalam Islam iaitu berbuat baik terhadap ibu bapa kita walaupun kita ini mungkin berlainan agama dengan mereka. Dalam al-Quran terdapat beberapa ayat juga turut berceritakan tentang berbuat baik terhadap ibu bapa, antaranya:

Firman Allah SWT menceritakan akhlak Nabi Isa yang bermaksud: “Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi. Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat di mana saja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup. Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Ia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.” (Surah Maryam, ayat 30-32), dan

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Ana’am, ayat 151 yang bermaksud , “Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa.”

Selain daripada al-Quran, berbakti kepada ibu bapa adalah akhlak yang ada pada semua nabi dan rasul. Ia menggambarkan tidak mungkin orang yang derhaka kepada ibu bapa layak mengajak orang lain membuat kebaikan apatah lagi memimpin manusia.

Pernah suatu masa, ada seorang client ceritakan kepada saya, anak-anaknya telah berubah sejak berlakunya perceraian antara dia dengan isteri sehingga ada beberapa kali anak-anak nya bertemu dengan si ayah ini tidak langsung bersalaman dengan ayah kandung mereka apatah lagi nak dengar anak-anak ini memanggilnya "ayah". Perlu ke kita ini sebagai anak-anak nak membenci mereka walaupun mereka ini telah bercerai, kena ingat darah yang mengalir dalam badan kita ini adalah darah ibu bapa kita ini. Ya memang perceraian berlaku adalah suatu perkara yang sangat perit bagi yang kita ini sebagai anak, tapi tiada bermaksud kita boleh sewenang-wenangnya membenci mereka. yang nak berlaku itu dah berlaku, perceraian hanya pada ibu bapa kita tidak lagi sebagai suami isteri tetapi sampai bila pun kita ini tetap anak mereka. 

Kita sebagai anak kenalah selalu berdoakan untuk mereka dan bukan membenci tindakan atau keputusan yang diambil ibu bapa. Sebab suatu hari nanti kita juga akan jadi ibu bapa kepada anak-anak kita. Kalau kita membenci mereka itu antaranya satu perkara bahawa kita telah khianat kepada ibu bapa dan perintah yang Allah turunkan. Secara percuma kita ini mengundang laknat daripada Allah.Jikalau orang yang memahami isyarat daripada al-Quran mengenai kewajipan berbakti kepada kedua ibu bapa tidak akan melakukan perkara seumpama itu.

Untuk menjadi insan yang berjaya kita selalu wajib bermuhasabah sejauh manakah kebaktian dan kebaikan yang sudah dilakukan kepada ibu bapa kita. Peluang terbuka luas untuk kita tingkatkan kasih sayang dan perhatian kepada ibu bapa, memohon maaf atas segala kelemahan sebagai anak yang alpa terhadap tanggungjawab kita. Sayangilah dan berbaktilah kepada  ibu bapa kita selagi mereka masih ada.

Bagi diri saya ini yang kerdil ini, selepas memeluk agama Islam banyak pengajaran kepada diri saya dan membuat saya sedar tuntutan berbakti kepada ibu bapa turut dirakamkan dalam ayat-ayat suci al-Quran dan juga hadith Nabi Muhammad s.a.w. Dan saya bersyukur pada Allah SWT, kerana DIA memberi ruang dan masa untuk memperbaiki apa yang telah saya lakukan sebelum Islam. Allah telah kembalikan saya kepada keluarga saya yang pernah saya pinggirkan sebelum ini. ALHAMDULILLAH















No comments:

Post a Comment

Memori Konvo ILDAS 3/2010

Memori Konvo ILDAS 3/2010
Wah Ramainya......Pelajar Baru 7 je, carilah dimana saya.......